Friday, July 2, 2010

Keunikan Kuda Laut

Kuda laut (Cavalluccio marino) merupakan haiwan yang sangat unik. Badannya diselaputi sejenis 'baju' atau seumpama “baju besi” yang berfungsi sebagai pelindung bahaya. Baju besi itu sangat keras seperti batu, bahkan tidak mudah dirosakkan dengan tangan manusia. Kuda laut termasuk dalam spesies ikan; bernafas dengan insang. Ukuran mereka bervariasi dari sekitar 4-30 sentimeter.

Meskipun termasuk dalam jenis ikan, cara berenang kuda laut berbeza dengan cara berenang ikan. Kuda laut bergerak dalam air dengan cara mengubah isi kandungan udara dalam kantung renangnya. Jika kantung renang ini rosak atau kehilangan sedikit udara, kuda laut akan tenggelam ke dasar laut. Kuda laut juga berenang dengan tubuh yang tegak dan mereka dapat menganggukkan kepala ke atas dan ke bawah.




Mata kuda laut sangat unik. Ia dapat melihat dua buah benda yg berbeza pada waktu yang sama. Matanya juga dapat bergerak dengan bebas, berputar-putar mengamati setiap sisi sehingga mereka dapat melihat sekelilingnya dengan mudah, tanpa harus menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan.

Badan kuda laut mempunyai variasi warna iaitu seperti merah, kuning, hijau, dan hitam serta boleh berubah mengikut keadaan sinar matahari yang menyinari tubuhnya, dan keadaan tubuhnya sendiri. Walaupun memiliki banyak warna, namun terdapat spesies yang badannya lutsinar, sehingga tidak mudah dilihat. Kuda laut biasanya tinggal di sekitar batu karang laut dan men'cangkuk'kan ekornya pada celah batuan laut. Ia hidup tersebar di perairan iklim tropika di seluruh lautan dunia.

Hal yang paling unik tentang kuda laut adalah si jantan, yang melahirkan anak-anaknya. Kuda laut jantan ini memiliki kantung perut yang besar dan pembuka seperti celah di bahagian dasar perutnya. Kuda laut betina akan meletakkan telur-telurnya secara terus ke dalam kantung perut itu dan kuda laut jantan mensenyawakan telur-telur itu pada ketika diletakkan ke dalam kantung itu.

Lapisan dalam kantung perut bertindak seperti span dan dipenuhi dengan kapilari darah, yang berfungsi untuk membekalkan nutrien untuk telur atau embrio. Kantung perut atau kantung benih berfungsi untuk menyimpan telur yang diberikan oleh kuda laut betina. Telur yang telah disenyawakan akan membentuk embrio; yang akan bertumbesar sehingga 10 hari ke 6 minggu, bergantung kepada spesies dan keadaan air.

Semasa kelahiran, kuda laut jantan akan menggetarkan ekornya sehingga bayi kuda laut keluar. Bayi-bayi kuda laut akan keluar dengan bentuk yang sangat kecil. Selain untuk mengandung, kantong kuda laut jantan juga berfungsi untuk mengawalatur kepekatan garam, agar sesuai dengan persekitaran luar saat telur menetas.

Nasib dan kewujudan kuda laut kini ternyata terancam. Habitat kuda laut, berupa batu karang laut, rosak akibat perbuatan manusia. Keunikan pada kuda laut membuatkan ramai orang ingin menjadikannya koleksi mahupun ubat-ubatan; dengan itu telah mengakibat penurunan jumlah kuda laut karena ditangkap secara berlebihan.

SAMA-SAMA SELAMATKAN SPESIES TERANCAM!

No comments:

Post a Comment