Sunday, August 8, 2010

Hayati Puasa Anda.....



Bermula dengan penciptaan alam, manusia telah diamanahkan oleh Allah untuk memakmurkan bumi ini dengan perlaksanan syariatNya. Bahawasanya telah diwajibkan ke atas kita semua khususnya para umat Islam agar mengimani kesemua rukun Iman dan melaksanakan rukun
Islam. Di samping itu kita juga dituntut untuk mengkaji setiap hikmah di sebalik kejadian dan suruhan Allah. Sesungguhnya ilmu sains itu dapat memberikan pengetahuan yang mendalam dan seterusnya memantapkan lagi keimanan terhadap Allah bagi mereka yang mengetahui
dan mempelajarinya.



Salah satu contoh yang dapat kita kemukakan bersama bagi menjelaskan lagi hikmah setiap suruhan Allah itu ialah berpuasa.

Hadith tersebut telah memberikan satu gambaran yang nyata pada diri kita akan hikmah di sebalik syariat berpuasa. Seluruh pakar perubatan telah bersetuju menyatakan bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam
penyakit terutamanya kegendutan yang menyebabkan timbulnya sub penyakit lain. Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun di dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu di antara satu sama lain. Sesungguhnya kesan lapar di dalam perubatan adalah lebih baik daripada penggunaan ubat secara berterusan.

Seorang pakar Barat (Dr. Mc Padun) telah menyatakan setiap orang perlu menjalani tempoh berpuasa walaupun tidak dikesan menghadapi sebarang penyakit. Ini kerana ia dapat membersihkan badan daripada racun-racun yang berkumpul di dalamnya. Kekurangan berat pada badan juga dapat dipulihkan segera dalam tempoh tidak lebih daripada 20 hari.

Dr. Hisyam Ibrahim AI-Khatib, AL-Wafiz Fi al-Tib, Umman menjelaskan puasa juga telah memberi peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman. Pengkajian ini diteruskan lagi apabila didapati punca berlakunya penyakit-penyakit adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak terkawal atau
lebih daripada kadar keperluan badan. Ini menyebabkan sistem yang bertindak mengawal badan terpaksa bekerja lebih kuat bagi mengimbangi keseluruhan pergerakan badan. Seterusnya penyakit-penyakit seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah amat mudah menyerang dan melemahkan kekuatan badan individu tersebut. Sesungguhnya tiada ubat yang khusus bagi memulihkannya melainkan dengan berpuasa kerana dengannya wujudlah satu sistem yang baru dalam badan yang bertindak mematikan sel-sel lama untuk digantikan dengan sel-sel baru yang lebih baik
dan bertenaga.

Amalan puasa yang disyariatkan oleh Allah terutamanya puasa Ramadhan dapat menurunkan berat badan sehingga mencapai ke satu paras yang dikehendaki. Jika ia diteruskan dengan perlaksanaan puasa sunat seperti berpuasa di bulan Rejab dan Sya'ban seterusnya Isnin dan
Khamis nescaya akan terpeliharalah tahap kesihatan seseorang bagi tempoh setahun. Pakar perubatan Islam iaitu Dr. Samir Abbas Malik Abdul Aziz dari Arab Saudi telah melakukan eksperimen terhadap 21 penduduk tentang kesan puasa pada kesuburan lelaki. Eksperimennya
ini membuktikan puasa adalah satu cara yang amat berkesan untuk menghasilkan benih dan pertumbuhan kesuburan sepertimana berkesannya puasa dalam perkembangan bagi pertumbuhan badan seseorang.

Daripada sudut kesuburan seorang wanita, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan. Kesimpulannya puasa dapat merehatkan sistem tubuh dan dapat mengelakkan penyakit-penyakit seperti kencing manis dan kegendutan. Selain itu dari sudut fizikalnya, puasa juga dapat merehatkan tubuh badan. Secara tidak langsung, amalan-amalan buruk juga dapat dihakis sedikit demi sedikit contohnya membantu membasmi ketagihan merokok, dadah dan minuman keras yang boleh membawa kerosakan organ di dalam badan.

Menurut dua pengkaji Islam dari Syiria dalam kitabnya yang berjudul At Tib Fil Quranil Karim menerangkan kepada kita akan faedah berpuasa :

-Memberi peluang kepada organ-organ dalam badan mengemaskinikan sistem pemprosesan supaya berfungsi semula dengan berkesan.

-Merehatkan sistem penyahtinjaan daripada berfungsi berterusan. Rasa lapar dapat membangkitkan semula selera makan selepas berpuasa serta mendatangkan kecergasan badan dan kecerdasan minda.

Maka secara keseluruhannya, puasa dapat mengawal dan mendidik tubuh badan untuk mengambil makanan yang diperlukan sahaja, seterusnya melambatkan proses penuaan, membantu proses perkumuhan, menyingkirkan racun di dalam badan dan menambahkan rasa nikmat makanan setelah berjaya menahan diri daripada makan.

No comments:

Post a Comment